Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


Malaysia Kongsi Pengalaman Kejayaan MamaCare Di Oxford University

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Program penjagaan ibu selepas bersalin, MamaCare yang dipelopori Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapat perhatian antarabangsa apabila Malaysia dijemput untuk membentangkan MamaCare di Oxford University baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pembentangan berkenaan dibuat oleh Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Sabariah Hassan pada Jumaat lepas (20 Mei) sebagai satu daripada program inovasi sosial Malaysia pada Challenges of the Government Conference di universiti tersebut.

"MamaCare kini memberikan perkhidmatan di luar negara termasuk London, Dubai, Vietnam dan negara anggota ASEAN yang lain. Pemberi perkhidmatan MamaCare akan tinggal di negara asing sepanjang tempoh berpantang iaitu 44 hari dan balik dengan pelbagai pengalaman serta pendedahan.

"MamaCare turut mendapat perhatian ekspatriat yang bertugas di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, Selasa.

Tambah Rohani, program MamaCare sudah dipaten kerana banyak pihak cuba meniru program MamaCare LPPKN termasuk pakaian seragam dan menggunakan nama yang sama ekoran kejayaan program tersebut.

Program MamaCare dimulakan pada 2012 sebagai perkhidmatan penjagaan holistik ibu selepas bersalin bertujuan membantu meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan reproduktif wanita dan keluarga.

Program latihan berkenaan merupakan satu daripada inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsan (NBOS) iaitu 1Malaysia Women's Initiative for Self-Empowerment (1MWISE) dan kerjasama pintar (smart partnership) antara LPPKN dan Eduskil.

Matlamat MamaCare ialah untuk meningkatkan kesejahteraan wanita dan keluarga melalui pemerkasaan ekonomi. Program ini melatih wanita warga emas dan ibu tunggal terutama daripada kumpulan berpendapatan rendah menjana pendapatan keluarga.

13240548 817202188385224 1910112999154911712 n

13240092 817202255051884 1165003147960121034 n