Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


MAJLIS PELANCARAN LAPORAN PENEMUAN UTAMA KAJIAN PENDUDUK DAN KELUARGA MALAYSIA KE LIMA (KPKM-5) di HOTEL SHANGRI-LA, PUTRAJAYA

PUTRAJAYA, 23 FEBRUARI - Masalah kewangan dikenalpasti sebagai salah satu masalah utama keluarga dalam penemuan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke Lima (KPKM-5). Kajian mendapati hampir 40% wanita menghadapi masalah dalam perbelanjaan pendidikan anak, 36.3% menghadapi masalah perbelanjaan keperluan keluarga dan 16.0% menghadapi masalah dalam perbelanjaan perubatan keluarga. Masalah yang sama turut dinyatakan oleh para lelaki, demikian menurut Dato' Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam teks ucapannya yang dibaca oleh timbalannya, Senator Chew Mei Fun sempena majlis Pelancaran Buku Laporan Penemuan Utama KPKM-5 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, selain itu lebih kurang satu perempat daripada wanita (25.2%) dan lelaki (22.3%) berhadapan dengan cabaran untuk mendisiplinkan anak remaja mereka. Sementara itu, aturan penjagaan anak juga merupakan masalah yang dihadapi oleh wanita dan lelaki iaitu masing-masing dengan 7.1% dan 9.0%. Bagi wanita yang bekerja, mereka mengharapkan sokongan dan bantuan daripada majikan untuk menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja. Ketiadaan khidmat sokongan tersebut memungkinkan wanita meninggalkan bidang pekerjaan dan telah dibuktikan hampir satu pertiga adalah disebabkan oleh masalah penjagaan anak.

Chew turut menyentuh mengenai masalah warga emas di Malaysia iaitu hampir 5% tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada anak-anak dari segi kewangan, penjagaan, bantuan makanan atau keperluan lain dan lain-lain bantuan.

"Sungguhpun peratusan ini kecil, kementerian khuatir jika perkara ini tidak diambil berat oleh anak-anak, maka bebanan dan tanggungjawab ini terpaksa diambil alih sama ada oleh pihak kerajaan ataupun komuniti. Kajian ini juga mendapati hampir 30 peratus warga emas tinggal berseorangan dan tinggal bersama pasangan sahaja dan turut memberi kesan kepada emosi, kesihatan dan ekonomi warga emas," tambah Chew.

Pada majlis sama, Chew turut memberitahu maklumat diperoleh akan dapat dijadikan input dalam perancangan pembangunan negara menerusi pembentukan strategi dan pelaksanaan program yang inklusif iaitu tiada mana-mana golongan atau kumpulan sasar yang akan berasa tercicir atau terpinggir.

Sebagai tambahan, kajian 10 tahun sekali oleh LPPKN ini selesai dilaksanakan pada September hingga Disember 2014 melibatkan sebanyak 23,112 buah tempat kediaman meliputi 5 jenis kumpulan sasaran iaitu pertama, wanita pernah berkahwin berumur 15 hingga 59 tahun; kedua, lelaki pernah berkahwin berumur 15 hingga 59 tahun; ketiga, remaja belum pernah berkahwin berumur 13 hingga 24 tahun; keempat, warga emas berumur 60 tahun dan ke atas; dan yang terakhir ialah individu bujang berumur 25 hingga 49 tahun.

Turut hadir, Dato' Sabariah Hassan, Ketua Setiausaha KPWKM, Dato' Mariam Mas Yacob, Pengerusi LPPKN dan Dato’ Dr Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah LPPKN.

***

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Korporat

LEMBAGA PENDUDUK DAN PEMBANGUNAN KELUARGA NEGARA

Tel: 03-2613 7555     E-mel: www.penduduk.gov.my / Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

 

20160222175410

index

index2

20160222185147