Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


Wacana Penyelidikan Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Terhadap Kesihatan Seksual & Reproduktif Remaja Di Sabah Dan Sarawak

KOTA KINABALU, 19 Nov: Penemuan awal Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke Lima (KPKM-5) mendapati sejumlah 3.1 peratus remaja Malaysia atau 164 orang remaja daripada 5,304 responden berumur 13 hingga 24 tahun yang ditemubual semasa kajian pernah melakukan hubungan seks. Manakala 21.5% pernah bercium-ciuman, 12.9% pernah melakukan aktiviti meraba-raba, 2.9% pernah melakukan seks melalui telefon. Perkara ini dinyatakan YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Hajah Jainab binti Datuk Seri Panglima Hj. Ahmad Ayib, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah dalam majlis perasmian penutupan Wacana Penyelidikan Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Terhadap Kesihatan Seksual dan Reproduktif RemajaSabah di sini, hari ini. “Langkah memperkenalkan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial adalah tepat pada masanya berasaskan statistik yang membimbangkan ini. Dengan melaksanakan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Remaja (PEKERTI), saya yakin ia dapat meningkatkan pengetahuan dan sikap yang lebih positif terhadap kesihatan reproduktif bagidiri, keluarga dan masyarakat,” tambah Chew yang turut menafikan bahawa Modul PEKERTI yang diperkenalkan oleh Kementeriannya sejak 2011 melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sekolah-sekolah akan menggalakkan lagi aktiviti seksual di kalangan remaja. Menurut Chew lagi, antara langkah lain yang diambil bagi mengatasi kehamilan remaja melalui penyebaran maklumat dan pengetahunan ialah penubuhan Pusat Remaja Kafe@TEEN mulai tahun 2005. Pusat ini merupakan “One Stop Centre” bertujuan membantu dan membimbing para remaja sebelum melangkah ke alam dewasa dengan penuh keselesaan dan keyakinan. Ia berkonsepkan mesra remaja menawarkan perkhidmatan kesihatan reproduktif, khidmat kaunseling serta program pendidikan dan pembangunan kemahiran untuk remaja. Sehingga kini terdapat 14 pusat remaja kafe@TEEN termasuk Pusat Remaja Kafe@TEEN yang dilancarkan di UTC Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini dan akan diperluaskan ke daerah Tawau pada tahun 2016. Program Wacana yang berlangsung sehari ini merupakan kerjasama rakan strategik KPWKM melalui LPPKN dan pihak United Nations Population Fund (UNFPA), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengumpulkan lebih 200 orang peserta kalangan ahli akademik, penjawat awam, ahli badan bukan kerajaan dan ibu bapa sekitar Kota Kinabalu. Turut hadir Dato’ Dr Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah LPPKN Malaysia.

20151118170850

20151118222540

20151118170851