Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


Majlis Pelancaran sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) 2015

KUCHING, 7 November: Kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapati 40 peratus warga emas di Sarawak pernah berasa kesunyian. Justeru, isteri Ketua Menteri Sarawak Puan Sri Jamilah Anu menggesa supaya isu itu segera ditangani supaya golongan berkenaan dapat menikmati kualiti hidup yang baik. Beliau berkata, kajian itu juga mendapati 52.2 peratus penduduk di Sarawak adalah isi rumah keluarga asas terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak, manakala selebihnya isi rumah keluarga luas, isi rumah perseorangan, isi rumah ahli tidak bersaudara serta isi rumah ahli-ahli. "Kajian juga menunjukkan di Sarawak, hanya 7.1 peratus lelaki dan 11.1 peratus wanita pernah berkahwin, telah bercerai atau berpisah pada perkahwinan pertama. "Antara punca utama perceraian ialah tiada persefahaman, pasangan curang serta campur tangan mentua atau ipar-duai. "Oleh itu, program pemantapan keluarga perlu diteruskan bagi memastikan kadar penceraian dapat diturunkan," katanya ketika merasmikan majlis pelancaran sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia, di sini hari ini. Jamilah juga mencadangkan KPWKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjalankan gerak kerja yang lebih agresif bagi memastikan institusi keluarga dapat diperkukuh. Selain itu, program pendidikan kekeluargaan dan pemantapan perkahwinan yang dilaksanakan agensi seperti LPPKN, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar perunding perlu diperhebat bagi memantapkan lagi institusi keluarga di negara ini. Di samping itu, beliau turut menyeru NGO serta swasta bekerjasama melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi memastikan keadaan itu dapat diperbaiki. Dalam pada itu, katanya dapatan positif daripada kajian itu ialah 91.2 peratus responden bujang di Sarawak yang berumur 25 hingga 49 tahun, menyatakan mereka ada membuat simpanan. "Ini menunjukkan sudah ada kesedaran yang sangat tinggi dalam kalangan individu bujang tentang pentingnya membuat simpanan sebelum berkahwin," katanya. Beliau turut memuji KPWKM kerana berjaya menganjurkan sambutan Hari Datuk dan Nenek buat kali pertama pada 4 Oktober tahun ini. Hari Datuk dan Nenek di Malaysia diisytiharkan jatuh pada Ahad pertama bulan Oktober setiap tahun, bermula tahun ini. Jamilah berkata sambutan seumpama itu penting bagi menghargai jasa dan peranan datuk dan nenek dalam institusi kekeluargaan. Beliau berkata institusi kekeluargaan adalah tonggak utama dalam memastikan kemajuan sesebuah negara, sambil menambah bahawa keluarga adalah asas pembentukan masyarakat yang progresif dan berdaya saing.

12049203 10153095353961790 6186594861202954378 n

12193538 10153095408761790 1591544448987001004 n

12196058 10153095354381790 7231637754116207460 n