Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


Kenyataan Media Mengenai 10% Kanak-Kanak Terlibat Dengan Dadah

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ SRI ROHANI ABDUL KARIM

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT 

"ISU 10% KANAK-KANAK TERLIBAT DADAH"

Saya ingin melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan isu kanak-kanak yang kini terlibat dengan kegiatan penyalahgunan dadah yang dilaporkan baru-baru ini. 

Keprihatinan dan sikap lebih berwaspada oleh ibu bapa dan keluarga haruslah dititikberatkan dalam menangani hal seperti ini. Dalam menangani dadah ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), agensi di bawah KPWKM berperanan dalam memberi kemahiran keibubapaan kepada ibu bapa mengenali dan memahami serta memupuk kasih sayang kepada-anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam kancah penagihan dadah. Pelbagai program disediakan dalam membantu para ibu bapa dalam membentuk Keluarga yang bahagia seperti Program Ilmu @ Keluarga, Kursus Keluarga @ Kerja dan perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan. 

 

Di samping itu, LPPKN juga telah menjalinkan kerjasama dengan Persatuan PENGASIH dan PETRONAS untuk melaksanakan Program Kenali Anak Kita PETRONAS.  Program ini adalah kempen pencegahan awal yang digerakkan oleh Persatuan PENGASIH Malaysia dengan tajaan PETRONAS. Kempen yang telah dilaksanakan sejak tahun 2009 ini menyediakan pengetahuan asas kepada ibubapa dan para guru untuk menjadi Agen Perubahan agar mereka dapat membantu remaja menghindari penagihan dadah dan tingkahlaku menyeleweng dari peringkat awal lagi. Bermula daripa tahun 2009 sehingga 2014, sebanyak 59 program melibatkan 24,896 perserta dan seramai lebih daripada 2,000 agen perubah telah berjaya dilatih.

 

Saya menyeru agar ibu bapa, penjaga dan masyarakat sekeliling supaya memberi keutamaan kepada penjagaan kanak-kanak agar perkara tidak diingini terutamanya melibatkan masalah sosial seperti gejala penyalahgunaan dadah ini dapat dielakkan. Di samping itu, ibu bapa juga perlu mengambil berat dan mengambil tahu tentang pergaulan anak-anak di luar rumah dengan mengambil inisiatif mengenali rakan-rakan mereka. 

 

####

 

Disediakan oleh : Unit Komunikasi Korporat

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga  dan Masyarakat

  No.55, Persiaran Perdana, Precint 4, 

  Putrajaya 

 

Tarikh : 2 Mac 2015