Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


Mega Seri Pengantin 2014

MEGA SERI PENGANTIN 2014PUTRAJAYA, 29 NOVEMBER, 2014 – Pelaksanaan Kursus Pra Perkahwinan Smartstart adalah untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kekeluargaan pada peringkat awal perkahwinan agar dapat membantu pasangan suami-isteri membina keluarga yang kukuh. Program ini diadakan untuk pasangan yang akan berkahwin atau baru berkahwin (kurang 5 tahun), dan telah diperkenal sejak tahun 2006 lagi.

"Antara topik yang ditekankan dalam modul ini ialah perbezaan personaliti, komunikasi, perundangan keluarga, kemahiran menguruskan konflik dan perancangan kewangan".

Ini dinyatakan oleh YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika merasmikan Majlis Mega Seri Pengantin 2014 dan menyampaikan 18 naskah buku Panduan Pra Perkahwinan SmartStart kepada 18 pasangan pengantin yang diraikan di Hotel Shangri-La, hari ini.

Tambahan YB. Dato' Sri Rohani lagi, mengikut Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati minimum umur perkahwinan pertama bagi lelaki di Malaysia adalah 28.0 tahun manakala wanita 25.7 tahun. Tiga sebab utama yang diberi oleh mereka adalah masalah kewangan tiada calon yang sesuai dan kemajuan kerjaya.

Penganjuran Program Mega Seri Pengantin 2014 bersempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia anjuran LPPKN dengan kerjasama JAKIM dan Yayasan Ihtimam Malaysia ini dilihat sebagai suatu inisiatif terbaik bagi membantu mengurangkan beban ekonomi golongan belia yang ingin mendirikan rumah tangga. Pasangan yang menyertai program ini juga diharap dapat menimba ilmu perkahwinan dan kekeluargaan sebagai bekalan dalam menempuh cabaran dalam kehidupan berumahtangga.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan pelbagai kursus kemahiran keibubapaan seperti Program Keluarga@Kerja (mengimbangi keluarga dan kerjaya), SmartBelanja@LPPKN (pengurusan kewangan keluarga), Pancaran KASIH (Kebapaan), Belaian KASIH (Keibubapaan anak kecil) dan Mutiara KASIH (Keibubapaan anak remaja). Bagi yang berminat boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut dengan melayari sesawang www.lppkn.goy.my atau menghubungi Bahagian Pembangunan Keluarga, LPPKN di talian 03-26937555.