Bahasa :
A- A A+
Saiz Font :


MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PEMERKASAAN KELUARGA DAN KOMUNITI (FACE) KOMUNITI BANDAR BEHRANG 2020 DAN SAMBUTAN BULAN KELUARGA KEBANGSAAN 1MALAYSIA (BKK1M) PERINGKAT NEGERI PERAK TAHUN 2016

 

gimik pelancaran face 2

 

TANJUNG MALIM , 6 November 2016 (Ahad) – Pelancaran Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (Family And Community Empowerment; FACE) bagi komuniti Bandar Behrang 2020 Tanjung Malim merupakan lokasi pertama di negeri Perak dan salah sebuah daripada 14 komuniti FACE di Malaysia yang dipilih pada tahun ini.Program FACE ini merupakan kesinambungan daripada program Forum Komuniti Keluarga Bahagia dan Program Jelajah Keluarga Bahagia yang pelancarannya telah diadakan di seluruh negara pada tahun lepas.

Melalui program FACE, LPPKN telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan program yang memberi fokus kepada pengukuhan institusi keluarga dan komuniti iaitu projek pembangunan model pengukuhan keluarga dan komuniti (FACE). Ini adalah hasil dari keputusan Majlis Sosial Negara pada 3 Mac 2015 yang mahukan satu halatuju bagi program pembangunan keluarga di Malaysia.  Justeru, antara halatuju mensejahterakan institusi keluarga di Malaysia yang dicadangkan adalah melalui pendekatan model memperkasakan keluarga dan komuniti telah dibentuk.

Kepentingan bagi memastikan institusi keluarga di Malaysia terus sejahtera merupakan agenda utama di samping prospek pembangunan negara yang semakin rancak menjelang tahun 2020. Keutamaan ini dapat dilihat berdasarkan komitmen kerajaan di dalam rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK-11) yang mengangkat kepentingan institusi keluarga menerusi memperkasa komuniti untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera. 

Pada hari ini turut diraikan juga Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) Peringkat Negeri Perak. Bulan November telah ditetapkan  sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia seperti mana yang diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dalam persidangan Dewan Rakyat pada 25 Jun 2012. Tema bagi sambutan tahun ini adalah SAYA SAYANG KELUARGA SAYA”, yang memberi fokus kepada pengukuhan lima (5) nilai teras keluarga bahagia berkonsepkan KASIH (Kasih Sayang, Berakhlak, Sihat dan Selamat, Berilmu dan Harmoni).  

face

 

Program yang dianjurkan oleh LPPKN Negeri Perak pada hari ini adalah secara kerjasama menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi termasuk pihak komuniti Bandar Behrang 2020. Pada hari ini komuniti Bandar Behrang 2020 dan penduduk sekitar Tanjung Malim berpeluang untuk mengunjungi Mini Karnival Komuniti Bahagia, Keluarga Sejahtera yang berlangsung sepanjang hari yang menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik. Antaranya  pameran dan khidmat nasihat kerjaya termasuk temuduga pekerjaan terbuka oleh syarikat-syarikat pekerjaan yang berdaftar di bawah Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA), pameran dan perkhidmatan  yang disediakan oleh pelbagai jabatan /agensi kerajaan serta NGO.

Majlis Perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Hajjah Azizah binti Datuk Seri

Panglima Haji Mohd Dun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada jam 2.30 petang. Turut hadir bersama dimajlis perasmian ialah YB. Dato` Hjh Rusnah bt Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat,  Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak.